Sunday, January 24, 2010

PERTANIAN

Walaupun bertani merupakan satu aktiviti tradisional yang telah dilakukan sejak dahulu lagi, namun aktiviti ini kian menjadi pilihan orang ramai. Kerajaan melalui beberapa agensi seperti Jabatan Pertanian, FAMA, Bank Pertanian dan lain-lain giat membantu para petani melaksanakan aktiviti pertanian yang bersifat komersial. Maksudnya pertanian yang berskala besar dan memberi pendapatan yang tinggi.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin pada 17 Januari 2010 di Bachok Kelantan mengatakan bahawa sektor pertanian negara akan terus diperkasakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK 10) . Menurutnya sektor itu antara yang akan bakal menerima peruntukan paling banyak kerana sebahagian besar rakyat di luar bandar bergantung kepada pertanian sebagai sumber pendapatan mereka.

" Unit Perancang Ekonomi , Jabatan Perdana Menteri sedang merangka pelan terperinci mengenainya", katanya kepada media . Menurutnya lagi ,ini termasuk menyediakan peruntukan pelbagai bentuk subsidi seperti baja padi, baja kapur, racun, upah tenggala, merata tanah dan skim insentif peningkatan hasil sehingga RM2,500 sehektar. Katanya lagi ini tidak termasuk skim pemilikan jentera pembajak serta peralatan ladang tidak melebihi RM10,000 yang separuh daripada harga dibiayai kerajaan.

Kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2009 telah menggalakkan rakyat negerinya memajukan tanah-tanah terbiar yang ada dengan aktiviti pertanian. Awal tahun 2010 sekali lagi perkara ini diketengahkan . Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Ushawan dan Koperasi Negeri Sembilan Datuk Yunus Rahmat berkata , setiap daerah di negeri tersebut akan dibekalkan tiga buah motosikal tiga roda untuk digunakan memungut hasil tani yang tidak dapat dimasuki kenderaan biasa. Motosikal tiga roda ini dibekalkan oleh FAMA. Sehubungan dengan itu,katanya lagi hasil pertanian yang dikumpulkan akan dijual sama ada di rangkaian Agro bazar Kedai Rakyat, Pasar Tani, Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) dan rangkaian kecil yang lain.

Nampaknya sektor pertanian menjadi sektor yang amat penting pada masa ini bagi menampung keperluan makanan negara. Justru tidak hairanlah sebaik selesai Perdana Menteri membentangkan Peruntukan bajet 2010 pada hujung tahun 2009 berebut usahawan yang entah dari mana memohon tanah-tanah pertanian daripada kerajaan. Tanyalah Jabatan Pertanian serta Mardi banyak permohonan yang masih dalam senarai permohonan.

Memandangkan terlalu banyak kemudahan yang ditawarkan bagi usahawan yang berjaya dalam permohonan tanah terutamanya daripada Projek Tanaman Makanan Kekal, maka berebut-rebut yang membuat permohonan. Akan tetapi adakah projek pertanian tersebut berjaya dilaksanakan sepenuhnya? Hanya Jabatan Pertanian yang dapat memberi jawapan.

Walaubagaimanapun, adalah diharapkan pemilihan usahawan dalam projek-projek tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih telus agar mereka yang berkelayakan dapat dipilih .Adakah dengan memberi syarat usahawan perlu menyediakan RM10,000 dalam akaun mereka baru boleh dipilih dalam projek Jabatan Pertanian benar-benar dapat membuktikan usahawan tersebut berjaya melaksanakan projek pertanian berskala besar ( 10 ekar)?
Saya tidak mempunyai data-data untuk menjelaskan perkara ini.

Adakah mereka yang berkemahiran, mempunyai minat yang mendalam dan mempunyai pengalaman pengurusan tetapi tidak mempunyai RM10,000 "on the spot" tidak layak diopertimbangkan? Ini juga saya tidak mempunyai jawapannya. Akan tetapi ianya boleh didebatkan dan terbuka untuk difikirkan.

Walaubagaimanapun, melaksanakan aktiviti pertanian walau sebesar manapun tidak akan membawa kerugian. Contohnya tanaman pisang. Tiga bulan yang lalu saya berkesempatan bertemu Pengurus Jabatan Pertanian Kuala Pilah . Kata-katanya yang paling saya hargai dan ingati hingga kini ialah " Kalau pisang, tanam sajalah!, " Makna katanya pisang adalah tanaman yang mudah ditanam, dijaga dan memberi pulangan yang tinggi. Terima kasih puan kerana telah memberikan saya satu motivasi yang amat bermakna. Hasilnya, pada masa ini saya telah 2.5 bulan menanam pisang di tanah seluas 0.5 ekar. Penjagaannya memang mudah. Pisang-pisang tu (200 pokok) kelihatan amat subur dan rumputnya dimesin 2 x seminggu.

No comments: