Friday, April 23, 2010

KEBUN TAMAN DI BELAKANG RUMAH

Dah lama saya amalkan menanam sayuran sendiri. Tapi kali ini saya menanam banyak pokok terung telunjuk kerana saya dapat biji benihnya daripada kakak ipar. Selain dari itu saya juga tanam kunyit, serai, daun pandan, daun kesum, bunga kantan, kacang botol, pisang, betik, kangkung, bayam , tomato, nenas, cili padi dan cili besar. Sawi pun saya tanam, tapi sekarang dah habis sebab ianya mati masa saya pergi ke Kelantan satu minggu. Masa tu cuaca panas sangat. Adalah tinggal sepokok dua yang tumbuh sendiri dan biasanya saya ambil kalau sayur dah kehabisan bila nak masak mee.

Sekarang saya sedang semai pokok betik dan terung ungu bulat . Benihnya saya dapat daripada kakak ipar.Terung ungu tu dah ada tiga daun dan saya pindahkannya ke dalam plastik untuk dibawa ke kebun kami nanti. Betik saya baru saja semai pagi ini.

Prinsip saya dalam penanaman pokok ialah menanam sebatang pokok sehari. Walaubagaimanapun kadang-kadang saya kesuntukan masa dan tidak sempat membelai pokok-pokok di kebun taman saya itu. Jika tiada pokok yang hendak ditanam, saya akan menanam
serai kerana ianya amat mudah. Ambil sahaja sebahagian anak pokok daripada ibunya, cantas
yang disebelah atas dan terus ditanam.

Seminggu yang lalu saya membeli keladi telur di Econsave Senawang. Harganya sekilo RM4 lebih. Saya terbayangkan keladi rebus yang enak. Walaubagaimanapun setelah direbus rasanya tidak sama sepertimasa saya kecil- dahulu. Agaknya keladi itu dah lama. Saya tinggalkan seketul keladi itu dan terus tanam dalam plastik bag. Hari ini saya tengok ia telahpun tumbuh
dengan tunas yang banyak.

Tiga minggu yang lalu pula ketika berkunjung ke rumah rakan, saya diberi hadiah sayur-sayuran yang ditanamnya di belakang rumah. Antaranya terung biru, sawi, kailan, keladi kemumur .
Saya juga diberi benih keladi kemumur sebanyak tiga pokok. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya amat berterima kasih kepadanya. Sekarang pokok keladi itu saya tanam dalam cooker saya yang telah rosak. Ianya hidup subur sekali dan mengeluarkan banyak daun. Cuaca yang selalu hujan juga banyak membantu . Sepokok lagi saya tanam dalam pasu besar di hadapan rumah. Ianya saya jadikan hiasan. Tapi kalau dah besar nanti bolehlah diambil untuk digulai dengan udang.

Hari ini saya memetik sebanyak 10 biji terung telunjuk. Mungkin nak gulai dengan udang.
Tapi ada orang kata terung tak elok untuk lelaki. Ia juga tak sesuai untuk orang yang ada athma.

No comments: